23 October 2016

Bergasak Di Puncak Gunung Nuang

09 oktober 2016, jam 8.30 pagi kami memulakan pendakian ke puncak Gunung Nuang melalui denai Janda Baik, Pahang. Bersama sedikit keangkuhan dan keterujaan, kami bergerak setelah selesai melakukan regangan fizikal bagi mengelakkan kecederaan dan kekejangan otot semasa pendakian nanti. Laluan Janda Baik dipilih memandangkan kami mungkin kekurangan dari segi latihan kecergasan dan persiapan untuk mengadakan aktiviti perkhemah semasa di dalam hutan nanti. Sambil-sambil kami juga tak mahu menyusahkan diri tidur di atas tanah berlapikkan kanvas, sedangkan kami pasti mahu tidur di tilam empuk setelah kaki penat mendaki nanti.

Pendakian kali ini dianggotai oleh aku dan isteri, Nik Adam serta isterinya Zuria, Amar Amir juga Isterinya Fazleena Hishamuddin dan tidak ketinggalan Hilmi yang masih belum menampakkan ciri-ciri akan beristeri. Dari tapak parking kereta kami melalui kebun sayur, yang menurut Zuria itu pokok buah markisa. Seterusnya melalui kawasan lalang memanjang yang terlihat di kiri kanan beberapa rumah masyarakat orang asli yang telah ditinggalkan. Mungkin mereka berpindah kerana kurang selesa dengan kehadiran pendaki-pendaki dari luar, yang mungkinlah tiap kali melalui kawasan rumah mereka itu akan menangkap-nangkap gambar sambil menunjuk-nunjuk kepada rakan-rakan, macamlah seolah-olah tengok monyet dalam kandang. Tak ada respek punya manusia, mungkin.

"Ok, lepas Kinabalu nanti kita naik tiga empat gunung lain dulu, buat latihan kecergasan sikit. Lepas tu pertengahan tahun depan kita panjat Gunung Fuji pulak". Fazleena nampaknya agak teruja apabila mendengar Gunung Fuji. Manakala Amar pula membuat pandangan sinis sambil dalam kepala memikirkan 'bala apa pulak ni, Fuji jadah mende'. Hilmi pula aku pasti sedang berkira-kira 'berapa nak kena bayar PTPTN ni sebab blacklist'. Adam pula macam dijangka, terus bercerita pengalamannya berjalan di Tokyo dua minggu lepas. Dia nampaknya terlihat kagum dengan bandar dan orang Tokyo. Baru nak kagum? Dr Mahathir sejak tahun 82 dah kagum.

Setelah selesai kawasan lalang dengan denai kecil itu, baru pendakian sedikit bermula melalui kawasan sawit hutan dan dusun durian. Kira-kira 1 jam kemudian kami tiba di kawasan air terjun. Menurut Nik Adam, jarak dari air terjun ke puncak kira-kira 2 jam saja lagi, aku bidas kata 3 jam. Nik Adam bidas semula kata "itu kalau lambat sangat, kita 2 jam je dah sampai". Ok, aku akur. Nik Adam memang serba tahu.

Melepasi saja kawasan air terjun itu, pendakian memang tak bagi muka. Mencanak-canak tanpa kasi can landai-landai. Nak landai-landai naik Bukit Gasing la. Hilmi mula mengambil alih posisi di depan, kerana nampaknya antara kami bertujuh dia paling muda, bertenaga dan tak pernah kerja. Jadi segala otot fizikal dan kekuatannya masih segar ranum. Amar dan Fazleena bersemangat mengikut rapat dibelakang. Aku mula merasakan sakit dan sesak dibahagian dada, jadi mengambil keputusan untuk berada di posisi belakang sekali supaya aku boleh mengikut had kelajuan aku sendiri. Akhirnya setelah agak lama kami terpisah kepada 2 kumpulan. Hilmi, Amar dan Fazleena mendahului kira-kira 5 minit di depan dan Nik Adam, Zuria, aku dan isteri di kumpulan belakang.

Kumpulan kami di belakang, tapi aku pasti kumpulan kami lebih fun. Kami banyak berborak sepanjang perjalanan dan bersenda gurau. Sementara kumpulan didepan pasti lebih fokus pada pendakian dan tidak sefun kami. Tapi ada ketika-ketikanya kumpulan didepan akan berhenti rehat dan menunggu kami tiba juga. Mungkin juga kerana sudah terlalu bosan serius mendaki, mereka berehat menunggu kami dan tak sabar nak cerita sesuatu pengalaman baru di tempuhnya tadi dengan kami. Berehat bersama seketika kemudian jalan semula dan kembali terpisah. Dalam perjalanan kami temui ulat gonggok sebesar lipan, dan kalau lipan pula sebesar mana agaknya? Mungkin sebesar anjing. "Ulat gonggok ni kalau dia kat pokok dia akan bergulung, tapi sekarang dia tengah melintas jalan", kata Nik Adam kepada Hilmi. Dan Hilmi membalas "Ooo..." seperti kanak-kanak tadika sedang belajar mengenal abjad. Jadi tahulah Hilmi bahawa ulat gonggok itu sekarang sedang melintas jalan, kalau tidak mungkin dia tak tahu.

Sementara itu dada ada aku terasa semakin kuat sakitnya tanpa ada tanda-tanda akan hilang. Untuk meredakan keadaan aku cuba memuntahkan angin namun ia tidak begitu membantu. Sewaktu begini aku mula menyumpah diri aku kerana menjadi orang yang mencadangkan "kita kena panjat Gunung Kinabalu, kalau tak malu kita jadi rakyat Malaysia bila ada orang Jerman tanya nanti tapi kita sendiri belum sampai puncak Kinabalu. Tapi sebelum panjat Kinabalu kita mesti panjat gunung-gunung lain dulu untuk latihan, yang pertama kita mulakan dengan Broga!". Terngiang kata-kata aku di hadapan kawan-kawan sewaktu di kedai Kopitiam Hailam Shah Alam awal dahulu. Sementara mereka menganguk-anguk tanda bersetuju dan seolah membisik masing-masing berkata "Brooogaaaa...." Dan aku jugalah yang menyenaraikan seterusnya gunung-gunung mana perlu didaki. Setan. Aku mula menyesal. Aku rasa aku nak kansel naik Kinabalu lagi 2 minggu ni, korang naik la. Aku lepak Kundasang tangkap gambar, letak instagram. Lepas tu aku pergi makan ABC Kinabalu, letak instagram jugak. Boleh dapat dalam 50 like, kalau nasib baik boleh sampai 88 like.

Akhirnya jam 1 kami kumpulan kedua tiba di Puncak Nuang, kira-kira 5 minit selepas kumpulan pertama tiba. Cuaca redup dan udara yang sejuk menerima kehadiran kami. jam 10.00 dari air terjun dan jam 1.00 tengahari tiba di puncak, ye 2 jam seperti diperkatakan Nik Adam. Tak lama selepas kami kesemua tiba, masing-masing mula membuka bekal yang dibawa. Aku dan isteri bawa nasi putih berlaukkan ayam masak merah dan ikan goreng, kami tak main la makan megi-megi ni, makanan tak berkhasiat. Manakala Nik Adam dan Zuria nasi putih ayam goreng kunyit, Amar dan Fazleena nasi goreng, sementara Hilmi membawa roti gardenia? What? Roti Gardenia?

Mereka mula makan, aku bertenang dulu meredakan sakit dada yang tak mahu reda-reda. Tapi makan mereka tadi tak tenang, diganggu oleh 3 ekor anjing penunggu puncak. Nik Adam bagi ayam goreng, habis dimakan. Aku bagi ikan goreng seekor seketul, pun habis tak nampak basang sesaat datang minta lagi. Amar dan Fazleena tak bagi apa-apa, begitu juga dengan Hilmi. Well... lagipun takkanlah anjing tu nak makan roti, anjing tu pun tahu memilih makanan yang bagus. Walaupun mereka tak bagi makanan apa-apa pada anjing, Tapi mereka paling bising menghalau anjing. Dalam kes ini Amar dan Adam menjadi pelindung kami makan, sewaktu kami makan merekalah yang bergasak bertegang urat bertekak dengan anjing. Aku dah sakit dada tak pedulik apa. Hilmi? Rasanya dia sangat takut anjing.

Akhirnya anjing reda berpaling arah. Tapi bukan sebab dah kenyang. Sekumpulan pendaki Orang Asli yang naik ke puncak gunung membawa sekali lima enam ekor anjing bersama mereka. Dah bergasak anjing sesama anjing. Lagi bising dari Amar dan Nik Adam bergasak dengan anjing tadi. Aku jadi tak tenang. Dada sakit, perut lapar, anjing bising bergasak kat sebelah, dia orang bising takutkan anjing. Potong mood nak makan. Aku nak marahkan siapa pun tak tahu, nak marahkan anjing dia binatang, memang marahlah kalau ada puak lain masuk kawasan dia. Nak marahkan orang asli sebab mengada-ngada bawak anjing naik puncak apahal? pun tak boleh. Itu dah memang cara dia orang kalau masuk hutan memang bawak anjing. Akhirnya aku marahkan diri aku sendiri. Kalau lepak minum-minum makan-makan kat The Curve kan senang, tenang. Ni mengada-ngada nak panjat gununglah.

Tak lama kemudian kami turun, selain kerana suasana yang tak tenang, udara yang sejuk menghantar kami untuk bersegera mulakan perjalanan balik. Seperti mana-mana aktiviti mendaki gunung, sewaktu turun adalah keadaan di mana otot atau fizikal akan mengalami kecederaan. Pertama kerana otot telah penat/panas bekerja untuk mendaki tadi. Kedua kerana aktiviti menurun memerlukan ketahanan kaki untuk menahan diri dari terjatuh. Ketiga mungkin kerana terlalu gembira nak turun dan mahu cepat sampai ke bawah maka kurang berhati-hati, hingga menyebabkan jatuh, pergelangan kaki tergelecek dan sebagainya. Untuk perjalanan menurun ini lutut kiri aku kembali sakit menyebabkan langkah semakin perlahan. Ini juga mungkin disebabkan kerana faktor lutut yang telah tidak kuat dan hentakan semasa turun.

Dalam perjalanan turun kami singgah berehat sekali lagi di air terjun yang dilalui pagi. Dan kali ini kami mengambil masa yang agak lama di situ. Semua mengambil kesempatan merendam kaki yang telah mula sakit-sakit dengan air sejuk dan Amar tidur dengan lenanya. Kami meneruskan perjalan semula pada jam 5.40 petang. Akhirnya jam 7.30 aku dan isteri sampai semula ke tempat permulaan pagi tadi, sebenarnya hanya aku yang lambat, tapi isteri aku mampu untuk bergerak laju, cumanya dia menunggu aku untuk turun sama-sama. Amar dan Fazleena menurut mereka sampai 30 minit lebih awal dari kami iaitu sekitar jam 7 manakala Adam, Zuria dan Hilmi tiba lebih awal dari itu sekitar jam 6.30.

"Lepas ni aku nak buat kerja asal aku balik je lah, aku nak berkarya je, tulis buku, tulis skrip teater buat teater. Fuji ke, apa benda semua tu kansel. Aku gantung kasut." Aku memberitahu keputusan aku yang muktahir kepada mereka semua. "Aku nak bersara!" sambung aku lagi.

Tapi apapun, nanti kalau upload gambar mendaki Nuang ni di istagram, aku tetap aku tulis - Pendakian Penuh Santai Dan Bertenaga.

nota : Fazleena Hishamuddin turut menulis pengalaman di ke Puncak Nuang di SINI.